KAEDAH BELAJAR UNTUK MIKRO EKONOMI – SATU CADANGAN

March 27, 2009

KAEDAH BELAJAR UNTUK MIKRO EKONOMI – SATU CADANGAN

Oleh Rithuwan Bin Nasir
Hak cipta terpelihara

http://mikroekonomistpm.wordpress.com

NOTA : Artikel ini diubahsuai dari artikel asal tulisan saya sendiri bertajuk, “BAGAIMANA MERANCANG MEMPEROLEH GRED CEMERLANG UNTUK MIKROEKONOMI (ATAU LULUS PENUH)” yang pernah diterbitkan online sejak bulan September 2008. (kini ditarik siaran dan diganti dengan artikel ringkas ini)

PENGENALAN

Ramai calon mengatakan Ekonomi STPM sukar. Malah ada yang mendakwa bahawa Makroekonomi lebih senang berbanding Mikroekonomi. Dengan kata lain, subjek ekonomi susah, dan antara yang tersusah adalah Mikroekonomi. Sebelum sifu membangkang kata-kata itu, adalah lebih baik jika sifu nyatakan di sini matlamat pembelajaran Mikroekonomi yang mungkin telah dilupakan pelajar.

Kenyataan 1
“Mikroekonomi juga dikenali sebagai teori harga. Aspek harga yang dibincangkan adalah tentang harga output dan harga faktor atau input. Dalam sukatan pelajaran STPM, isu dan persoalan mengenai harga input dibincangkan dalam teori agihan. Antara perkara yang turut dibincangkan termasuk aspek penentuan upah, sewa, kadar bunga dan untung. Sebahagian besar daripada perbincangan mikroekonomi sebagai teori harga memfokus kepada pasaran output. Dua pemboleh ubah utama dalam menentukan harga output di pasaran ialah permintaan (DD) dan penawaran (SS). Keseimbangan tercapai apabila SS = DD.”

Kenyataan 2
“Seperti dinyatakan sebelum ini, ilmu ekonomi merupakan satu bidang sains sosial yang mengkaji gelagat pelaku ekonomi yang kompleks. Walaupun kompleks, gelagat pelaku ekonomi di dalam aktiviti ekonomi dapat dijangkakan melalui pembentukan teori. Dengan menggunakan teori, isu dan permasalahan ekonomi dapat dicerap dan dianalisis dengan jelas. Teori ekonomi dapat dinyatakan dan dianalisis dengan menggunakan tiga kaedah, iaitu melalui kaedah pernyataan, analisis dengan menggunakan jadual dan rajah serta analisis dengan menggunakan kaedah persamaan matematik.”

Sepanjang pembelajaran mikroekonomi, anda akan dapati kita membincangkan tentang hubungan antara harga dengan kuantiti. Dalam pasaran barang, harga sesuatu barang semasa boleh mempengaruhi permintaan atau penawaran barang tersebut, sekali gus menentukan jumlah kuantiti yang diminta atau ditawarkan mengikut unit ekonomi yang dibincangkan. Dalam pasaran faktor pula harga buruh adalah upah dan kuantiti buruh adalah bilangan orang yang sanggup bekerja. Sekali lagi dalam mikroekonomi, kita membincangkan bagaimana harga buruh boleh mempengaruhi kuantiti buruh dalam pasaran. Begitu juga dengan faktor lain seperti tanah, modal dan usahawan. Harga tanah adalah sewa yang diterima dalam nilai wang. Kuantiti tanah pula adalah keluasan tanah tersebut seperti hektar. Modal pula, harga modal ialah faedah yang diterima dalam nilai wang juga manakala kuantiti modal adalah sejumlah wang yang dilaburkan. Jelas di sini perbincangan dalam mikroekonomi tetap berfokuskan kepada hubungan harga dengan kuantiti di mana fokus sukatan adalah lebih menjurus kepada pasaran barang.

Memandangkan ilmu ekonomi peringkat STPM adalah setahap dengan pembelajaran pra-universiti, maka sudah pastilah pengisian pembelajaran turut diperluaskan dan kemahiran yang perlu dimiliki oleh pelajar telah digariskan oleh pihak kementerian berwajib.

Persoalan yang ingin dijawab ialah mampukah anda memperoleh gred “lulus penuh” atau akan tercapaikah impian anda memperoleh gred A dalam mikroekonomi dan ekonomi itu sendiri. Jawapannya ialah boleh. Sifu yakin ia boleh dicapai. Apa kata kita mula bercerita tentang potensi ini, teknik menyediakan nota belajar yang betul.

Amalkan Teknik Belajar yang Betul

Berdoa sahaja tanpa usaha tak akan membawa perubahan yang besar, ya tak. Belajar tu belajar juga, tapi tak semestinya belajar yang anda amalkan sekarang adalah teknik yang betul atau satu-satunya teknik terbaik. Teknik belajar BUKAN HANYA dengan membaca. Dan bukan pula baca dan terus baca dan terus baca dan terus baca.

Teknik ulang kaji yang betul ialah baca, buat catatan ringkas, jawab soalan peneguhan sendiri. Dalam subjek mikroekonomi pula, mana-mana topik yang menyediakan rajah atau keluk maka ia mesti dilukis semula semasa anda ulang kaji. Pastikan anda sediakan banyak kertas untuk melakar keluk-keluk atau membina semula jadual yang disediakan. Anda harus menyedari ilmu ekonomi tak akan sama dengan ilmu bahasa dan tak akan serupa dengan ilmu matematik. Maka kaedah belajar bahasa tak semestinya 100% serupa dengan teknik belajar matematik, apatah lagi ekonomi.

Dalam subjek mikroekonomi, setiap kali anda membuat pembacaan, pastikan anda turut membuat catatan ringkas tentang bacaan anda. Tindakan menggaris kata kunci di atas buku rujukan sebenarnya TIDAK cukup. Anda harus menulis semula apa yang anda sedang pelajar secara kasar pun tak apa. Ia membantu anda fokus, dan dengan rangsangan deria rasa, penglihatan dan pendengaran, otak anda akan dapat menyimpan fakta tersebut dengan lebih baik lagi berbanding hanya dengan pembacaan yang statik.

Tapi ingat, nota kemas lain, lakaran lain. Catatan di atas itu adalah satu teknik merangsang otak, tetapi ia boleh dijadikan nota jika tulisan anda sememangnya cantik dan mudah dibaca. Tetapi sifu harus tegaskan di sini, jika anda fokus hanya buat nota, maka ini bukanlah masanya. Boleh tu boleh, tapi seperti tak sesuai pula. Buku rujukan anda sudah boleh membantu anda, dan catatan nota seperti di atas sebenarnya sudah boleh menggantikan nota ringkas anda, jika anda rancang catatan anda supaya tersusun kemas seperti contoh di bawah.

Contoh catatan yang boleh dijadikan nota ringkas.

Perhatikan sifu gunakan pelbagai warna. Sebenarnya ia teknik tambahan yang baik, kerana kajian mendapati rangsangan warna dapat membantu peningkatan daya ingatan. Tetapi jika anda hanya memiliki hanya sebatang pen atau pensil, ia juga sudah mencukupi. Tak perlu risau sangat.

Tetapi apa yang penting ialah JANGAN ABAIKAN KELUK. Ilmu ekonomi menggunakan keluk untuk menyampaikan maklumat dalam bentuk ringkas dan padat. Juga anda mesti belajar MEMBACA KELUK dan menulis huraiannya. Selalunya buku rujukan akan menunjukkan penerangan bagi setiap keluk. Pendekatan yang sama boleh digunakan. Di bawah ini sifu tunjukkan bagaimanakah proses ulang kaji anda bermanfaat, contohnya latihan esei.

Perhatikan bahawa pelajar ini berlatih tulisan esei. Dalam esei panjang, soalan yang kerap ditanya berkaitan Bab Pasaran Persaingan Sempurna akan menghendaki pelajar melukis rajah dengan TEPAT dan menghuraikan rajah tersebut. Perasan tak, jawapan tak semestinya berjela-jela panjang sehingga 150 patah perkataan. Esei ekonomi dipermudahkan kerana adanya lukisan keluk tadi. Jika tidak mungkin anda terpaksa mengarang esei seperti 300 patah perkataan. Apa yang ditulis oleh pelajar adalah dengan memastikan 4 perkara yang bersangkutan dengan rajah itu dinyatakan dalam satu hingga dua perenggan ayat. Oh ya, rajah yang pelajar itu lukis adalah contoh semasa ulang kaji, tetapi jawapan sebenar TAK BOLEH ‘sekotor’ itu. Tak boleh ada catatan atau garis-garis tambahan. Ia haruslah kemas seperti berikut:

Oh ya, dalam peperiksaan sebenar pelajar mesti lukis keluk itu dengan menggunakan pembaris ya, jangan pula seperti lakaran di atas.

Dengan kata lain, dalam amalan teknik ulang kaji yang betul, pelajar mesti membaca, merangsang dan melakukan peneguhan yang berterusan untuk diri sendiri.

Kerap berjumpa Guru Untuk Bimbingan Berterusan

Setiap minggu sifu sarankan agar anda berlatih menulis jawapan esei mungkin dengan memilih soalan sebenar STPM dahulu. Jujurlah ketika melakukannya dan jika perlu rujuk guru untuk mendapatkan maklum balas dari guru, sama ada prestasi jawapan anda bertambah baik atau sebaliknya. Oh, oleh sebab ia tindakan sukarela anda, pastikan anda jumpa guru dalam keadaan bersedia dan guru juga bersedia. Sebaiknya tanya satu soalan pada satu-satu masa. Mohon guru anda periksa ‘on the spot’ hanya satu soalan dahulu setiap kali berjumpa dengannya. Jika anda dah berlatih 5 soalan esei panjang dengan jujur (tanpa meniru buku contohnya), maka berilah pula masa, sehari-dua untuk beliau menyemak kertas jawapan anda. Ia lebih baik dari tergesa-gesa meminta guru menyemak terus. Jika nak respons terus, ikut tips sifu: satu soalan untuk satu masa perjumpaan. Ia akan mengambil masa kurang dari 10 minit.

Pupuk Minat Terhadap Subjek dipelajari

Satu perkara yang pasti ialah semua pelajar mesti timbulkan minat terhadap subjek yang dipelajari. Sifu dapati jika kita minat terhadap sesuatu subjek, mudah untuk kita pelajarinya dan mudah untuk kita mencipta kejayaan di dalamnya. Pengalaman sifu mengajar sifu tentang perkara ini. Mana-mana subjek atau bahagian ilmu yang sifu minat, mudah untuk sifu faham, ingat dan mahir. Malahan kalau di universiti dulu, subjek sebegini sifu pasti akan dapat A. Oleh itu apabila sifu menyedari kekuatan ini, sifu cuba amalkan kepada subjek yang susah. Rupa-rupanya kesukaran belajar itu disebabkan ketiadaan minat terhadap subjek itu. Selepas menyedari kepincangan itu, sifu cuba teknik ini, mencipta minat ke atas subjek yang dianggap bosan. Kejayaan agak minimal tetapi itu lebih baik dari tidak ada minat langsung. Dari situ sifu dapati prestasi sifu mengingati fakta meningkat, kefahaman sifu meningkat dan keupayaan sifu menjawab soalan peperiksaan semakin baik. Malangnya tempoh masa adalah singkat. Setiap semester sifu akan berjumpa subjek baru yang kurang menarik. Maka proses yang sama iaitu memupuk kecintaan terpaksa dimulakan lagi untuk subjek baru pula. Sekali lagi kejayaan pelbagai, ada yang minimal ada yang memberangsangkan, dan ada juga kejayaan luar biasa! Perkara sebegini sememangnya dijangka berlaku.

Seperti juga bercinta. Perasaan cinta terhadap seseorang tak mudah untuk dipupuk. Masih mudah untuk memupuk perasaan sayang jika individu yang berkaitan mempunyai ciri-ciri yang menarik, tetapi jika kita dah benci dengannya, cantik atau baik hati bagaimanapun si dia, kita akan tetap menghindarkan diri darinya. Difahamkan ia adalah kesan psikologi seseorang. Oleh itu sifu akur bahawa kejayaan menggunakan teknik ini amat bergantung pada tahap kematangan psikologi individu berkenaan. Dipercayai jika pelajar itu dari golongan pemaaf, mudah untuk menukarkan perasaan tak suka kepada minat dengan subjek yang dipelajari, dengan teknik yang betul. Sebaliknya pelajar yang agresif dan mempunyai keras hati, maka sukar menggunakan teknik ini. Tetapi jangan risau, kerap kali walaupun benci, tetapi selagi memiliki matlamat untuk berjaya, subjek yang sukar itu masih mampu ditukar kepada subjek yang cemerlang.

Tempoh masa juga memainkan peranan. Di sekolah terutamanya bagi pelajar STPM, sifu yakin teknik mencari cinta itu sesuai kerana tempoh masa pendidikan yang panjang. Mulakan dengan penetapan cita-cita, mencari alasan untuk meminati subjek itu. Antara cara yang sifu sarankan adalah supaya pelajar awal-awal mencari maklumat kemasukan ke IPTA. Dapatkan maklumat subjek yang penting dipelajari dan tetapkan bahawa anda suka belajar subjek itu kerana ia adalah syarat masuk ke ijazah yang anda ingin pohon. Teknik lain ialah pemilihan buku yang menarik. Tapi semua itu adalah masalah persepsi, oleh itu atasi dengan sebaiknya. Jangan biarkan persepsi negatif mengaburi kewujudan manfaat sebenar yang diperoleh dalam pencarian ilmu pengetahuan. Insyaallah, walaupun subjek itu diuar-uarkan sebagai sukar, kill subjek, dan anda pula tak pernah mempunyai asas ilmu, percayalah apabila sifu katakan pelajar yang berjaya meminati subjek sukar tersebut akan terkejut dengan kemampuan beliau. Hanya dengan belajar sedikit-sedikit mereka cepat faham. Hanya dengan memberi penumpuan di dalam kelas mereka menjadi faham. Kenapa ya? Sebab mereka itu mempunyai perasaan yang positif, pemikiran yang positif dan persepsi yang positif terhadap subjek tersebut. Kepada orang lain, mereka dianggap pandai dan kuat belajar. Kepada diri mereka sendiri mereka hanya perlu amalkan ‘study smart’.

PENUTUP

Artikel ini ditulis untuk memenuhi harapan pelajar sifu dan pengunjung blog yang meminta tips belajar. Penulisan sifu menjurus kepada isi yang hendak disampaikan. Sifu menganggap diri ini sebagai seorang pengatur strategi, ataupun bolehlah dipanggil Guru Strategis. Fokus sifu sekarang ialah menyelesaikan masalah pelajar yang idamkan kejayaan tetapi tak pasti bagaimana nak lakukannya.

Sepanjang sifu menjadi guru tingkatan enam, sifu dapati teknik dan pendekatan strategik yang sifu sarankan untuk pelajar ‘lemah’ atau ‘lemah semangat’ membuahkan hasil. Walaupun sifu tak dapat memantau calon-calon lepas sama ada mereka ada benar-benar mengulang kaji di rumah atau tidak, tetapi yang sifu pasti ialah pelajar yang masih mengikuti kelas tambahan yang sifu anjurkan (percuma) dan mengikuti tips-tips bab popular dan kaedah belajar yang betul, pada akhirnya terkejut kerana sepanjang 1 ½ tahun di sekolah, mereka sukar mendapat C- pun, tapi alih-alih mereka dapat C+. Ada juga yang hanya C yang mana memuaskan hati mereka. Tapi sifu percaya mereka ini tak cukup bersedia kerana jika mereka benar-benar menguasai beberapa topic utama, sifu yakin mereka boleh mencapai sekurang-kurangnya gred B-. Ia pernah berlaku dan tak mustahil berlaku lagi.

Sebenarnya anda sebagai pelajar pra-U memainkan peranan diri sendiri lebih banyak dari peranan yang sepatutnya guru mainkan, untuk menjayakan misi cemerlang anda. Jika pelajar STPM masih bertingkah laku seperti pelajar PMR atau SPM maka sukarlah guru membantu anda menguasai subjek-subjek STPM. Teknik belajar hendaklah disesuaikan mengikut peringkat pengajian anda. Ingatlah, bukan hanya anda yang bakal memohon program ijazah di IPTA atau IPTS. Pelajar matrikulasi dan program asasi adalah saingan setaraf dengan anda. Mereka juga bekas pelajar SPM dan belajar di peringkat pra-u. Di samping itu, siswazah lepasan diploma yang menyambung pengajian ke ijazah juga adalah pesaing yang tak boleh dipandang ringan. In belum lagi mengambil kira penempatan yang amat terhad. Empat saluran permohonan berlumba ke arah satu tujuan. Dalam keadaan desakan IPTA meningkatkan kualiti mereka, mereka juga memerlukan pelajar/siswazah yang berkualiti juga untuk masuk ke IPT masing-masing. Pastikan anda adalah salah seorang dari mereka yang cemerlang supaya ‘survival’ anda di IPTA boleh diteruskan dengan lebih meyakinkan lagi. Amalan pembelajaran yang bijak, cekap dan berkesan membolehkan anda menjadi pelajar yang cemerlang, tak perlu dengan usaha yang keras, tapi cukup dengan usaha yang jujur dan bijak. “Study smart all the time (but not smart cheating), only then you know what study hard means.”

Akhir sekali sifu ucapkan ribuan terima kasih kepada semua pelawat blog sifu, http://mikroekonomi.wordpress.com yang menyokong usaha sifu. Juga diucapkan terima kasih kepada pembaca tips ini kerana kesudian anda membaca tulisan sifu yang panjang ini. Sepertimana anda dah maklum, sifu bukanlah penulis profesional. Oleh itu maafkan di atas kesilapan bahasa mahupun kepincangan idea. Sekian.

TULISAN ASLI
RITHUWAN BIN NASIR
18hb. Mac 2009
Edisi kedua

Hak cipta terpelihara. 2008/2009.
Hanya penulis berhak menerbitkan semula artikel ini dalam format terbitan lain untuk apa jua tujuan. Pengunjung blog atau lamanweb ini boleh memuatturun untuk kegunaan peribadi sahaja tetapi bukan untuk tujuan komersial.

Info Penting : Masalah Melamin dalam Produk Makanan

October 16, 2008

Sifu terdorong atas dasar tanggungjawab kepada semua pelajar yang bakal menduduki SPM. Maklumlah jika anda jatuh sakit, maka prestasi akademik anda umpama di hujung tanduk.

Sila baca petikan akhbar Utusan Malaysia Online ini yang bertajuk “Melamin : Larangan import agen penaik `Ammonium Bicarbonate’ dari China”.

Sifu turut menyalin-petik semula ke pos ini sebagai arkib,

PUTRAJAYA 16 Okt. — Kerajaan hari ini melarang serta-merta pengimportan agen penaik ’ammonium bicarbonate’ dari negara China berikutan bahan itu didapati mempunyai tahap melamin melebihi piawaian yang dibenarkan.

Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai berkata, bahan penaik itu yang diimport dari negara-negara lain pula diletakkan di bawah pemeriksaan rapi sebelum dibenar masuk ke pasaran tempatan.

Beliau berkata, tindakan larangan itu diambil apabila analisis yang dilakukan terhadap sampel produk dua kilang biskut tempatan, Khong Guan di Johor dan Khian Guan di Pulau Pinang mendapati 18 daripada 47 sampel biskut yang dianalisa melebihi tahap melamin yang dibenarkan iaitu 2.5 mg/kg atau 2.5 ppm.

“Hasil analisis menunjukkan hanya agen penaik ’ammonium bicarbonate’ mengandungi paras melamin yang tinggi iaitu 33.4 ppm bagi kilang biskut jenama Khong Guan dan 508 ppm bagi kilang biskut jenama Khian Guan, dan sumber ’ammonium bicarbonate’ bagi kedua-dua kilang biskut itu adalah dari negara China,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Serentak itu, Liow berkata kementerian telah mengarahkan 12 biskut jenama Khong Guan iaitu Biskut Soda, Biskut Lemon Puff, Biskut Lemon Pof, Biskut Butter Cream, Biskut Baby Fish, Biskut Healthy Cracker, Biskut Cocoa Puff, Biskut Sandwich Oren, Biskut Family Crackers, Biskut Bentuk Binatang, Biskut Gulung dan Biskut Mini Puff ditarik balik dari pasaran.

Enam biskut berjenama Khian Guan iaitu Biskut Creamy Chocolate, Biskut Lemon Puff, Biskut Square Puff, Biskut Cocoa Puff, Biskut Jagung Puff dan Biskut Campuran (Party) turut menghadapi tindakan yang sama, dan kementerian akan memantau dan memusnahkan mana-mana biskut itu jika masih berada di pasaran, katanya.

“Kami juga meminta mereka (Khong Guan dan Khian Guan) untuk menarik balik produk mereka yang lain secara sukarela sehingga ia mendapat kebenaran dari kementerian, dan mereka memberi kerjasama yang baik,” katanya.

Liow berkata, kementerian sedang mengenal pasti pengimport, pengedar dan pembekal ’ammonium bicarbonate’ dari negara China, selain menjalankan pemeriksaan terhadap kilang biskut di seluruh negara dan jika terdapat ’ammonium bicarbonate’ dari negara China digunakan, ’ammonium bicarbonate’ dan biskut berkenaan akan disita dan sampel akan diambil bagi tujuan analisis. — Bernama

Apa yang merisaukan sifu ialah kita belum dimaklumkan kesan sebenar kepada kesihatan manusia kanak-kanak, remaja dan dewasa. Kita dah mendengar berita buruk kesan melamin ke atas bayi! Oleh itu nasihat sifu adalah supaya berhati-hati. Maklumkan kepada ibu bapa anda tentang berita ini, dan bertindaklah sewajarnya. Perlu jelas di sini, Kementerian Kesihatan juga sedang memantau kilang-kilang pengeluaran produk makanan yang lain. Sementara itu, anda sendiri bantulah ibu menyiasat adakah produk ‘tepung penaik’ yang mengandungi ammonium bikarbonat ada di dalam rumah anda, dan jika ia dibuat dari China, fikirkanlah keputusan yang sewajarnya anda sekeluarga lakukan.

Sifu amat berharap info ini membantu kita semua. terima kasih kepada Kementerian Kesihatan Malaysia kerana pemantauan yang berterusan terhadap masalah pemakanan yang sedang kita hadapi.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1 Syawal 1429H

September 29, 2008


Ucapan ini ditujukan kepada semua pengunjung blog yang menyokong keberterusan blog ini, terutamanya pelajar-pelajar atau calon STPM 2008. Tidak lupa juga kepada rakan-rakan sekerja dan rakan-rakan seMalaysia yang turut mengenali diri ini.

Tips Menjawab Mikroekonomi STPM

July 15, 2008

Sifu dah kemas kini kategori di atas dengan panduan dan komen sifu berkaitan esei panjang. Harap maklum.

Seminar Pengajaran Ekonomi STPM oleh Dr. Hamzaid Yahya

June 29, 2008

hari ini, (ahad, 29 Jun 2008) sifu menghadiri seminar yang dikendalikan oleh dr. Hamzaid Yahya, pakar ekonomi dan pensyarah dan pengarah urusan Kolej Teknologi Alpha (ACT). Seminar ini adalah percuma untuk semua guru-guru Ekonomi Tingkatan Enam. Sifu tak lepaskan peluang, so sifu driving dari rumah dari Kg. Kuala Papar ke Pusat Kuliah Universiti Malaysia Sabah, ambil masa 1 jam 10 minit juga (termasuk sifu sesat mencari dewan kuliah).

Antara pengisian seminar ialah Dr. Hamzaid berkongsi kaedah pengajaran ekonomi STPM yang boleh digunakan di dalam kelas. Sebagai pengajar kertas 1, sifu amat tertarik dengan pendekatan yang disampaikan oleh Dr. Teringin nak jadi seperti Dr., bagaimana betapa mudahnya beliau mengaitkan isu-isu semasa dengan setiap bab yang ada dalam silibus STPM.

Selain dari itu, Dr. Hamzaid juga mengagih-agihkan buku teks percuma kepada guru-guru. Sifu dimaklumkan yang pelajar-pelajar STPM kelmarin juga dapat buku teks percuma. Alhamdulillah, rupa-rupanya Dr. Hamzaid sedang telah menjalankan projek khidmat bakti untuk pelajar-pelajar ekonomi STPM. Semoga Allah berkati kehidupan di dunia dan akhirat Dr. hamzaid sekeluarga di atas khidmat bakti beliau yang tidak mengharapkan balasan ini. Sifu pula berjanji akan cuba mengikuti petua-petua yang beliau sampaikan di dalam pengajaran nanti. Insyaallah.

SELAMAT HARI GURU

May 16, 2008

Tarikh bertuah, 16 Mei. Hari untuk guru-guru meninjau semula (muhasabah diri) tentang kenapa kita memilih kerjaya guru walaupun mengetahui banyak lagi ruang dan peluang yang sengaja kita lepaskan untuk berjaya dalam bidang lain. Kepada rakan-rakan guru, terutamanya yang kerap mengunjungi blog ini, Selamat Hari Guru. Teristimewa kepada rakan guru yang banyak menyumbang idea dan sokongan serta sumbangan bahan, Cikgu Hamidon, Cikgu MNY, dan beberapa orang lagi yang dikenali melalui ‘nickname’ di blog ini. Begitu juga dengan semua rakan sekerja. SELAMAT HARI GURU. Hari ini hari kita, hari kerjaya kita.

Kalau sifu pula, hari ini bolehlah dikategorikan sebagai hari kegembiraan, terharu dan kesedihan sifu. Gembira kerana sifu masih waras dan masih bermotivasi melakukan kerjaya ini, terharu kerana pelajar gembira bersama kita dan masih ada bekas pelajar yang mengingati diri ini, dan sedih kerana disebalik tugas ini yang tak pernah berakhir, guru-guru masih bergelut dengan persepsi negatif dari segelintir masyarakat.

We don’t work as a teacher, we love to teach and anything else is just a needs to success as a father/mother and/or a husband/wife.

TEMA TAHUN 2008 : GURU CEMERLANG NEGARA TERBILANG.

Makluman Kemasukan Ke Tingkatan 6 Bawah Sesi 2008

April 23, 2008

Tarikh pendaftaran tingkatan enam bawah bagi tahun 2008 ialah pada 12 Mei 2008.
Semakan keputusan kemasukan ke tingkatan enam bermula pada 6 Mei 2008 di laman web http://www.moe.gov.my.

Maklumat lanjut, sila klik dan layari pemberitahuan ini.

Tips Menjawab Esei

April 6, 2008

Ketika menjawab soalan esei ringkas atau esei panjang, pelajar haruslah merancang jawaban dengan baik. Jika soalan memerlukan bantuan rajah dalam bentuk lakaran, pelajar dikehendaki menyediakan rajah itu dengan sempurna, lengkap dan tepat. Pelajar harus memastikan setiap keluk yang disediakan mempunyai label, penanda yang betul mengikut penanda universal, dan penanda umum yang dibenarkan. Apakah dia penanda universal? Selalunya penanda DD boleh digunakan untuk keluk permintaan. Penanda MC adalah digunakan untuk menunjukkan keluk kos sut. Pelajar dilarang sama sekali mencipta simbol sendiri menggantikan penanda universal, dikhuatiri ia tidak dapat diterima oleh pemeriksa. Ada segelintir pelajar menukarkan simbol MC dengan KS. Walaupun ia dianggap betul oleh pelajar, tidak semestinya diterima oleh pemeriksa. Oleh itu adalah dinasihatkan semua pelajar Ekonomi STPM menggunakan simbol-simbol atau penanda universal ini sepenuhnya.

Timbul pula persoalan simbol dalam persamaan atau formula. Anda dinasihatkan supaya menulis formula SEPENUHNYA, bukannya mengambil formula shortcut seperti dalam buku tanpa menyatakan terlebih dahulu formula asal. Contohnya formula berkaitan yang sering ditanya ialah keanjalan permintaan harga atau keanjalan penawaran harga/keanjalan harga penawaran.

Jika soalan menghendaki anda menghuraikan beberapa perkara, contohnya faktor penentu permintaan, maka anda dinasihatkan supaya menulis jawapan anda dalam format berikut:

1. Harga barang itu sendiri

Harga barang itu sendiri ……[huraian ditulis dalam 1 perenggan sahaja]

2. Harga barang lain

Harga barang pengganti boleh ….. [huraian ditulis dalam 1 perenggan, kemudian]

Begitu juga dengan harga barang penggenap seperti …..[huraian dalam perenggan 2 utk faktor 2]

Begitulah seterusnya. Nasihat ini sejajar dengan teguran pemeriksa ekonomi STPM . Format di atas mudah diperiksa dan mempercepatkan pemeriksa membaca jawapan anda.

Untuk soalan yang serupa, “terangkan faktor penentu permintaan” tadi, JANGAN sekali-kali menulis jawapan dalam 1 perenggan panjang seolah-olah anda sedang menulis untuk karangan BM. JANGAN! Ia hanya menyukarkan anda sendiri menulis 5 atau 6 faktor sekaligus. Malah ia juga menyumbang kepada kehilangan markah kerana kesukaran pemeriksa mengenalpasti point atau huraian yang ingin anda sampaikan.

Soalan yang meminta pelajar menerangkan persamaan atau perbezaan (soalan perbandingan) hendaklah dijawab dalam urutan berperenggan juga. JANGAN sekali-kali menggunakan format JADUAL. Jangan! Dalam pemeriksaan ekonomi STPM, ia TIDAK diterima. Awak akan diberikan markah 0 (sifar) kerana itu. Difahamkan rasional pemeriksa menolak jawapan sebegitu, antara lain ialah, pelajar gagal menunjukkan kefahaman mereka tentang perbezaan atau persamaan secara intelektual dan berurutan.

Sifu nasihatkan pelajar jangan membandingkan ekonomi STPm dengan subjek STP lain.PELAJAR EKONOMI MESTI SEDAR BAHAWA kehendak penulisan jawapan BERBEZA daripada kertas pengajian perniagaan atau sejarah. Jika anda ingin semua jawapan anda diterima oleh pemeriksa ekonomi STPM yang sebahagiannya terdiri dari pensyarah universiti, maka ikutilah nasihat sifu di atas.

Setakat ini dulu, sifu akan tambah mana yang perlu dilain ketika.

Klik di sini untuk ke Segmen Tips Menjawab Mikroekonomi STPM

Hadiri Ceramah Ekonomi STPM

April 2, 2008

Pagi ini, saya dan rakan guru turut menghadiri ceramah, bersama-sama anak didik, yang disampaikan oleh seorang rakan guru berkaitan dengan Ekonomi STPM. Ada banyak perkara baru yang berjaya dikongsi. Antaranya bagaimana menyediakan jawapan esei pendek dan esei panjang yang boleh diterima oleh pemeriksa dan mana yang tidak (markah sifar). Selain itu penceramah juga menegaskan pentingnya teknik menjawab yang betul.

Setiap sesi ceramah akan diakhiri dengan perbincangan 2 soalan bagi mikroekonomi dan 1 soalan makro.

Sebagai gurupun, saya mendapat beberapa input atau tips baru yang diyakini boleh membantu pelajar mendapatkan keputusan yang memberangsangkan. Pastinya pelajar-pelajar juga dapat menghayati dan mengingati isi ceramah tadi.

STPM : Kisah Faktor Kejayaan Pelajar Biasa yang Luar Biasa

March 12, 2008

Berkat desakan keluarga

KOTA KINABALU 11 Mac – Desakan keluarga supaya mengambil Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) meskipun pada mulanya berhasrat menyambung pelajaran di kolej atau bekerja, membawa hikmah kepada Jennefer Walin, 20.

Anak seorang pembuat roti ini berkata, dia tidak menyangka mendapat keputusan cemerlang 4A 1B dalam peperiksaan STPM yang diumumkan hari ini.

Jennefer yang memperolehi Purata Nilai Gred Kumulatif 3.84 mata, merupakan satu-satunya pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Peter Mojuntin, Penampang, Kota Kinabalu yang memperolehi keputusan itu.

Beliau memperolehi A dalam subjek Sejarah, Sastera, Pengajian Am dan Seni Visual serta B dalam subjek Bahasa Malaysia.

Anak sulung daripada dua beradik ini berkata, formula kejayaannya ialah menumpukan sepenuh perhatian semasa belajar, menyiapkan semua kerja rumah dan kurangkan masa menonton televisyen.

“Apa yang penting sekali ialah tumpuan kepada guru semasa belajar dan semua kerja rumah disiapkan sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau yang berketurunan Dusun berasal dari Kampung Hubah berkata, cita-citanya untuk menjadi seorang guru dan akan memohon melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam bidang sastera.

[sumber : utusan online - 11/03/08]

Kesusahan jadi inspirasi Chiu Huay

MACHANG 11 Mac – Anak seorang penoreh getah di Kampung Belukar Panjang di sini, Kua Chiu Huay diumumkan sebagai pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi negeri Kelantan.

Bagi Chiu Huay, 19, (gambar) kemiskinan keluarganya tidak menghalangnya daripada belajar dengan gigih untuk mencapai kecemerlangan, sebaliknya ia menjadi pendorong kuat.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hamzah di sini, yang memperoleh Lima Prinsipal A itu memberikan tumpuan penuh sepanjang tempoh pembelajaran dalam bilik darjah.

“Apabila tidak faham saya terus bertanya kepada guru dan akan mengulang kaji setiap pelajaran di rumah pada sebelah malam dengan menggunakan kaedah menulis nota ringkas,” katanya.

Sementara itu, ayahnya, Kua Bon Seng, 48, berkata, anaknya amat gigih mengulang kaji pelajaran walaupun pada masa sama, terpaksa juga menolongnya menoreh terutamanya pada waktu cuti sekolah.

Mereka berdua ditemui pada majlis pengumuman keputusan STPM 2007 di SMK Hamzah di sini yang diisytiharkan oleh Pengarah Pelajaran negeri, Ismail Md. Noor.

Seorang lagi pelajar cemerlang STPM, Noradilah Othman dari SMK Putra, Kota Bharu berkongsi kejayaannya dengan selalu mengadakan perbincangan berkumpulan setiap hari selepas waktu persekolahan.

“Saya kebiasaannya bersama dengan rakan lain akan berada di sekolah sehingga waktu petang untuk mengadakan perbincangan dan kadang-kadang ada juga guru dan pengetua yang bersama dengan kami.

“Pada sebelah malam pula, saya akan memperuntukkan waktu sehingga tiga jam untuk mengulang kaji pelajaran,” kata anak kepada Penyelia syarikat Air Kelantan cawangan Kubang Kerian.

Bagi seorang lagi pelajar cemerlang, Mohd. Saiful Faizal Mohd. Zin, selain mengulang kaji pelajaran, dia sering diingatkan oleh kedua ibu bapanya agar menghormati dan menghargai para guru yang gigih mendidik.

“Saya selalu ingat pesan mereka, walau setekun mana kita belajar tetapi sekiranya tidak mendapat restu daripada guru, maka ilmu yang diperoleh itu tidak membawa keberkatan,” katanya.

[sumber : utusan online - 11/03/08]