KAEDAH BELAJAR UNTUK MIKRO EKONOMI – SATU CADANGAN

KAEDAH BELAJAR UNTUK MIKRO EKONOMI – SATU CADANGAN

Oleh Rithuwan Bin Nasir
Hak cipta terpelihara
http://mikroekonomistpm.wordpress.com
NOTA : Artikel ini diubahsuai dari artikel asal tulisan saya sendiri bertajuk, “BAGAIMANA MERANCANG MEMPEROLEH GRED CEMERLANG UNTUK MIKROEKONOMI (ATAU LULUS PENUH)” yang pernah diterbitkan online sejak bulan September 2008. (kini ditarik siaran dan diganti dengan artikel ringkas ini)

PENGENALAN

Ramai calon mengatakan Ekonomi STPM sukar. Malah ada yang mendakwa bahawa Makroekonomi lebih senang berbanding Mikroekonomi. Dengan kata lain, subjek ekonomi susah, dan antara yang tersusah adalah Mikroekonomi. Sebelum sifu membangkang kata-kata itu, adalah lebih baik jika sifu nyatakan di sini matlamat pembelajaran Mikroekonomi yang mungkin telah dilupakan pelajar.

Kenyataan 1
“Mikroekonomi juga dikenali sebagai teori harga. Aspek harga yang dibincangkan adalah tentang harga output dan harga faktor atau input. Dalam sukatan pelajaran STPM, isu dan persoalan mengenai harga input dibincangkan dalam teori agihan. Antara perkara yang turut dibincangkan termasuk aspek penentuan upah, sewa, kadar bunga dan untung. Sebahagian besar daripada perbincangan mikroekonomi sebagai teori harga memfokus kepada pasaran output. Dua pemboleh ubah utama dalam menentukan harga output di pasaran ialah permintaan (DD) dan penawaran (SS). Keseimbangan tercapai apabila SS = DD.”

Kenyataan 2
“Seperti dinyatakan sebelum ini, ilmu ekonomi merupakan satu bidang sains sosial yang mengkaji gelagat pelaku ekonomi yang kompleks. Walaupun kompleks, gelagat pelaku ekonomi di dalam aktiviti ekonomi dapat dijangkakan melalui pembentukan teori. Dengan menggunakan teori, isu dan permasalahan ekonomi dapat dicerap dan dianalisis dengan jelas. Teori ekonomi dapat dinyatakan dan dianalisis dengan menggunakan tiga kaedah, iaitu melalui kaedah pernyataan, analisis dengan menggunakan jadual dan rajah serta analisis dengan menggunakan kaedah persamaan matematik.”

Sepanjang pembelajaran mikroekonomi, anda akan dapati kita membincangkan tentang hubungan antara harga dengan kuantiti. Dalam pasaran barang, harga sesuatu barang semasa boleh mempengaruhi permintaan atau penawaran barang tersebut, sekali gus menentukan jumlah kuantiti yang diminta atau ditawarkan mengikut unit ekonomi yang dibincangkan. Dalam pasaran faktor pula harga buruh adalah upah dan kuantiti buruh adalah bilangan orang yang sanggup bekerja. Sekali lagi dalam mikroekonomi, kita membincangkan bagaimana harga buruh boleh mempengaruhi kuantiti buruh dalam pasaran. Begitu juga dengan faktor lain seperti tanah, modal dan usahawan. Harga tanah adalah sewa yang diterima dalam nilai wang. Kuantiti tanah pula adalah keluasan tanah tersebut seperti hektar. Modal pula, harga modal ialah faedah yang diterima dalam nilai wang juga manakala kuantiti modal adalah sejumlah wang yang dilaburkan. Jelas di sini perbincangan dalam mikroekonomi tetap berfokuskan kepada hubungan harga dengan kuantiti di mana fokus sukatan adalah lebih menjurus kepada pasaran barang.

Memandangkan ilmu ekonomi peringkat STPM adalah setahap dengan pembelajaran pra-universiti, maka sudah pastilah pengisian pembelajaran turut diperluaskan dan kemahiran yang perlu dimiliki oleh pelajar telah digariskan oleh pihak kementerian berwajib.

Persoalan yang ingin dijawab ialah mampukah anda memperoleh gred “lulus penuh” atau akan tercapaikah impian anda memperoleh gred A dalam mikroekonomi dan ekonomi itu sendiri. Jawapannya ialah boleh. Sifu yakin ia boleh dicapai. Apa kata kita mula bercerita tentang potensi ini, teknik menyediakan nota belajar yang betul.

Amalkan Teknik Belajar yang Betul

Berdoa sahaja tanpa usaha tak akan membawa perubahan yang besar, ya tak. Belajar tu belajar juga, tapi tak semestinya belajar yang anda amalkan sekarang adalah teknik yang betul atau satu-satunya teknik terbaik. Teknik belajar BUKAN HANYA dengan membaca. Dan bukan pula baca dan terus baca dan terus baca dan terus baca.

Teknik ulang kaji yang betul ialah baca, buat catatan ringkas, jawab soalan peneguhan sendiri. Dalam subjek mikroekonomi pula, mana-mana topik yang menyediakan rajah atau keluk maka ia mesti dilukis semula semasa anda ulang kaji. Pastikan anda sediakan banyak kertas untuk melakar keluk-keluk atau membina semula jadual yang disediakan. Anda harus menyedari ilmu ekonomi tak akan sama dengan ilmu bahasa dan tak akan serupa dengan ilmu matematik. Maka kaedah belajar bahasa tak semestinya 100% serupa dengan teknik belajar matematik, apatah lagi ekonomi.

Dalam subjek mikroekonomi, setiap kali anda membuat pembacaan, pastikan anda turut membuat catatan ringkas tentang bacaan anda. Tindakan menggaris kata kunci di atas buku rujukan sebenarnya TIDAK cukup. Anda harus menulis semula apa yang anda sedang pelajar secara kasar pun tak apa. Ia membantu anda fokus, dan dengan rangsangan deria rasa, penglihatan dan pendengaran, otak anda akan dapat menyimpan fakta tersebut dengan lebih baik lagi berbanding hanya dengan pembacaan yang statik.

Tapi ingat, nota kemas lain, lakaran lain. Catatan di atas itu adalah satu teknik merangsang otak, tetapi ia boleh dijadikan nota jika tulisan anda sememangnya cantik dan mudah dibaca. Tetapi sifu harus tegaskan di sini, jika anda fokus hanya buat nota, maka ini bukanlah masanya. Boleh tu boleh, tapi seperti tak sesuai pula. Buku rujukan anda sudah boleh membantu anda, dan catatan nota seperti di atas sebenarnya sudah boleh menggantikan nota ringkas anda, jika anda rancang catatan anda supaya tersusun kemas seperti contoh di bawah.

Contoh catatan yang boleh dijadikan nota ringkas.

Perhatikan sifu gunakan pelbagai warna. Sebenarnya ia teknik tambahan yang baik, kerana kajian mendapati rangsangan warna dapat membantu peningkatan daya ingatan. Tetapi jika anda hanya memiliki hanya sebatang pen atau pensil, ia juga sudah mencukupi. Tak perlu risau sangat.

Tetapi apa yang penting ialah JANGAN ABAIKAN KELUK. Ilmu ekonomi menggunakan keluk untuk menyampaikan maklumat dalam bentuk ringkas dan padat. Juga anda mesti belajar MEMBACA KELUK dan menulis huraiannya. Selalunya buku rujukan akan menunjukkan penerangan bagi setiap keluk. Pendekatan yang sama boleh digunakan. Di bawah ini sifu tunjukkan bagaimanakah proses ulang kaji anda bermanfaat, contohnya latihan esei.

Perhatikan bahawa pelajar ini berlatih tulisan esei. Dalam esei panjang, soalan yang kerap ditanya berkaitan Bab Pasaran Persaingan Sempurna akan menghendaki pelajar melukis rajah dengan TEPAT dan menghuraikan rajah tersebut. Perasan tak, jawapan tak semestinya berjela-jela panjang sehingga 150 patah perkataan. Esei ekonomi dipermudahkan kerana adanya lukisan keluk tadi. Jika tidak mungkin anda terpaksa mengarang esei seperti 300 patah perkataan. Apa yang ditulis oleh pelajar adalah dengan memastikan 4 perkara yang bersangkutan dengan rajah itu dinyatakan dalam satu hingga dua perenggan ayat. Oh ya, rajah yang pelajar itu lukis adalah contoh semasa ulang kaji, tetapi jawapan sebenar TAK BOLEH ‘sekotor’ itu. Tak boleh ada catatan atau garis-garis tambahan. Ia haruslah kemas seperti berikut:

Oh ya, dalam peperiksaan sebenar pelajar mesti lukis keluk itu dengan menggunakan pembaris ya, jangan pula seperti lakaran di atas.

Dengan kata lain, dalam amalan teknik ulang kaji yang betul, pelajar mesti membaca, merangsang dan melakukan peneguhan yang berterusan untuk diri sendiri.

Kerap berjumpa Guru Untuk Bimbingan Berterusan

Setiap minggu sifu sarankan agar anda berlatih menulis jawapan esei mungkin dengan memilih soalan sebenar STPM dahulu. Jujurlah ketika melakukannya dan jika perlu rujuk guru untuk mendapatkan maklum balas dari guru, sama ada prestasi jawapan anda bertambah baik atau sebaliknya. Oh, oleh sebab ia tindakan sukarela anda, pastikan anda jumpa guru dalam keadaan bersedia dan guru juga bersedia. Sebaiknya tanya satu soalan pada satu-satu masa. Mohon guru anda periksa ‘on the spot’ hanya satu soalan dahulu setiap kali berjumpa dengannya. Jika anda dah berlatih 5 soalan esei panjang dengan jujur (tanpa meniru buku contohnya), maka berilah pula masa, sehari-dua untuk beliau menyemak kertas jawapan anda. Ia lebih baik dari tergesa-gesa meminta guru menyemak terus. Jika nak respons terus, ikut tips sifu: satu soalan untuk satu masa perjumpaan. Ia akan mengambil masa kurang dari 10 minit.

Pupuk Minat Terhadap Subjek dipelajari

Satu perkara yang pasti ialah semua pelajar mesti timbulkan minat terhadap subjek yang dipelajari. Sifu dapati jika kita minat terhadap sesuatu subjek, mudah untuk kita pelajarinya dan mudah untuk kita mencipta kejayaan di dalamnya. Pengalaman sifu mengajar sifu tentang perkara ini. Mana-mana subjek atau bahagian ilmu yang sifu minat, mudah untuk sifu faham, ingat dan mahir. Malahan kalau di universiti dulu, subjek sebegini sifu pasti akan dapat A. Oleh itu apabila sifu menyedari kekuatan ini, sifu cuba amalkan kepada subjek yang susah. Rupa-rupanya kesukaran belajar itu disebabkan ketiadaan minat terhadap subjek itu. Selepas menyedari kepincangan itu, sifu cuba teknik ini, mencipta minat ke atas subjek yang dianggap bosan. Kejayaan agak minimal tetapi itu lebih baik dari tidak ada minat langsung. Dari situ sifu dapati prestasi sifu mengingati fakta meningkat, kefahaman sifu meningkat dan keupayaan sifu menjawab soalan peperiksaan semakin baik. Malangnya tempoh masa adalah singkat. Setiap semester sifu akan berjumpa subjek baru yang kurang menarik. Maka proses yang sama iaitu memupuk kecintaan terpaksa dimulakan lagi untuk subjek baru pula. Sekali lagi kejayaan pelbagai, ada yang minimal ada yang memberangsangkan, dan ada juga kejayaan luar biasa! Perkara sebegini sememangnya dijangka berlaku.

Seperti juga bercinta. Perasaan cinta terhadap seseorang tak mudah untuk dipupuk. Masih mudah untuk memupuk perasaan sayang jika individu yang berkaitan mempunyai ciri-ciri yang menarik, tetapi jika kita dah benci dengannya, cantik atau baik hati bagaimanapun si dia, kita akan tetap menghindarkan diri darinya. Difahamkan ia adalah kesan psikologi seseorang. Oleh itu sifu akur bahawa kejayaan menggunakan teknik ini amat bergantung pada tahap kematangan psikologi individu berkenaan. Dipercayai jika pelajar itu dari golongan pemaaf, mudah untuk menukarkan perasaan tak suka kepada minat dengan subjek yang dipelajari, dengan teknik yang betul. Sebaliknya pelajar yang agresif dan mempunyai keras hati, maka sukar menggunakan teknik ini. Tetapi jangan risau, kerap kali walaupun benci, tetapi selagi memiliki matlamat untuk berjaya, subjek yang sukar itu masih mampu ditukar kepada subjek yang cemerlang.

Tempoh masa juga memainkan peranan. Di sekolah terutamanya bagi pelajar STPM, sifu yakin teknik mencari cinta itu sesuai kerana tempoh masa pendidikan yang panjang. Mulakan dengan penetapan cita-cita, mencari alasan untuk meminati subjek itu. Antara cara yang sifu sarankan adalah supaya pelajar awal-awal mencari maklumat kemasukan ke IPTA. Dapatkan maklumat subjek yang penting dipelajari dan tetapkan bahawa anda suka belajar subjek itu kerana ia adalah syarat masuk ke ijazah yang anda ingin pohon. Teknik lain ialah pemilihan buku yang menarik. Tapi semua itu adalah masalah persepsi, oleh itu atasi dengan sebaiknya. Jangan biarkan persepsi negatif mengaburi kewujudan manfaat sebenar yang diperoleh dalam pencarian ilmu pengetahuan. Insyaallah, walaupun subjek itu diuar-uarkan sebagai sukar, kill subjek, dan anda pula tak pernah mempunyai asas ilmu, percayalah apabila sifu katakan pelajar yang berjaya meminati subjek sukar tersebut akan terkejut dengan kemampuan beliau. Hanya dengan belajar sedikit-sedikit mereka cepat faham. Hanya dengan memberi penumpuan di dalam kelas mereka menjadi faham. Kenapa ya? Sebab mereka itu mempunyai perasaan yang positif, pemikiran yang positif dan persepsi yang positif terhadap subjek tersebut. Kepada orang lain, mereka dianggap pandai dan kuat belajar. Kepada diri mereka sendiri mereka hanya perlu amalkan ‘study smart’.

PENUTUP

Artikel ini ditulis untuk memenuhi harapan pelajar sifu dan pengunjung blog yang meminta tips belajar. Penulisan sifu menjurus kepada isi yang hendak disampaikan. Sifu menganggap diri ini sebagai seorang pengatur strategi, ataupun bolehlah dipanggil Guru Strategis. Fokus sifu sekarang ialah menyelesaikan masalah pelajar yang idamkan kejayaan tetapi tak pasti bagaimana nak lakukannya.

Sepanjang sifu menjadi guru tingkatan enam, sifu dapati teknik dan pendekatan strategik yang sifu sarankan untuk pelajar ‘lemah’ atau ‘lemah semangat’ membuahkan hasil. Walaupun sifu tak dapat memantau calon-calon lepas sama ada mereka ada benar-benar mengulang kaji di rumah atau tidak, tetapi yang sifu pasti ialah pelajar yang masih mengikuti kelas tambahan yang sifu anjurkan (percuma) dan mengikuti tips-tips bab popular dan kaedah belajar yang betul, pada akhirnya terkejut kerana sepanjang 1 ½ tahun di sekolah, mereka sukar mendapat C- pun, tapi alih-alih mereka dapat C+. Ada juga yang hanya C yang mana memuaskan hati mereka. Tapi sifu percaya mereka ini tak cukup bersedia kerana jika mereka benar-benar menguasai beberapa topic utama, sifu yakin mereka boleh mencapai sekurang-kurangnya gred B-. Ia pernah berlaku dan tak mustahil berlaku lagi.

Sebenarnya anda sebagai pelajar pra-U memainkan peranan diri sendiri lebih banyak dari peranan yang sepatutnya guru mainkan, untuk menjayakan misi cemerlang anda. Jika pelajar STPM masih bertingkah laku seperti pelajar PMR atau SPM maka sukarlah guru membantu anda menguasai subjek-subjek STPM. Teknik belajar hendaklah disesuaikan mengikut peringkat pengajian anda. Ingatlah, bukan hanya anda yang bakal memohon program ijazah di IPTA atau IPTS. Pelajar matrikulasi dan program asasi adalah saingan setaraf dengan anda. Mereka juga bekas pelajar SPM dan belajar di peringkat pra-u. Di samping itu, siswazah lepasan diploma yang menyambung pengajian ke ijazah juga adalah pesaing yang tak boleh dipandang ringan. In belum lagi mengambil kira penempatan yang amat terhad. Empat saluran permohonan berlumba ke arah satu tujuan. Dalam keadaan desakan IPTA meningkatkan kualiti mereka, mereka juga memerlukan pelajar/siswazah yang berkualiti juga untuk masuk ke IPT masing-masing. Pastikan anda adalah salah seorang dari mereka yang cemerlang supaya ‘survival’ anda di IPTA boleh diteruskan dengan lebih meyakinkan lagi. Amalan pembelajaran yang bijak, cekap dan berkesan membolehkan anda menjadi pelajar yang cemerlang, tak perlu dengan usaha yang keras, tapi cukup dengan usaha yang jujur dan bijak. “Study smart all the time (but not smart cheating), only then you know what study hard means.”

Akhir sekali sifu ucapkan ribuan terima kasih kepada semua pelawat blog sifu, http://mikroekonomi.wordpress.com yang menyokong usaha sifu. Juga diucapkan terima kasih kepada pembaca tips ini kerana kesudian anda membaca tulisan sifu yang panjang ini. Sepertimana anda dah maklum, sifu bukanlah penulis profesional. Oleh itu maafkan di atas kesilapan bahasa mahupun kepincangan idea. Sekian.

TULISAN ASLI
RITHUWAN BIN NASIR
18hb. Mac 2009
Edisi kedua

Hak cipta terpelihara. 2008/2009.
Hanya penulis berhak menerbitkan semula artikel ini dalam format terbitan lain untuk apa jua tujuan. Pengunjung blog atau lamanweb ini boleh memuatturun untuk kegunaan peribadi sahaja tetapi bukan untuk tujuan komersial.

19 Comments

  1. 1
    farah Says:

    yang ni lain sikit ke sifu berbanding dulu yg sperti b’gaimana merancang gred cemerlang? kalau lain sikit, sy nak print ni…hehe…sy nk repeat stpm mule sifu…

    • 2
      sifu2b Says:

      Farah,
      Tak sama je. Ia adalah petikan dari artikel 1 dulu tu. Sifu cuma buang bahagian ramalan dan tips-tips lain dan tinggalkan bahagian buat nota dan latihan esei.

  2. 3
    farah Says:

    nape sifu buang ramalan n tips2 tu? ia b
    guna jgk kan..especially kpd sy…huhu..

  3. 4
    sifu2b Says:

    Farah,
    dah tak relevan. Fokus tahun 2009 sememangnya akan ada perbezaan. Tapi sifu bagi sikit tips. Soalan mikro gerenti wajib soal bab permintaan dan penawaran dan juga teori pengeluaran dan kos pengeluaran yang merangkumi PPS dan PM

  4. 5
    farah Says:

    thanks sifu..:)
    semoga ada ramalan yg 2009 pula…
    sy akan tunggu artikel sterusnya…hehe…
    sy mau A ekonomi ni…hehe..
    harap2 ramalan 2009 ni dpt dikeluarkan secepat mungkin…
    huhu~

  5. 6

    sifu saya perlukan pertolongan sifu dalam subjek perakaunan

  6. 7
    MiraJono Says:

    sifu,
    saya merupakan pelajar aliran sains dalam SPM 2008 dan kini sedang menduduki tingkatan enam rendah, saya juga akan menukar aliran ke sastera, dan perlu memduduiki kertas ekonomi.
    soalan saya:
    1. Adakah saya akan mengalami kesukaran semasa sesi pembelajaran, memandangkan saya tidak mempunyai asas dalam matapelajaran Ekonomi?
    2. Apakah itu Keluk?
    3. Adakah Keluk itu penting dalam kertas ekonomi?
    4. Adakah sudah terlambat bagi saya untuk menguasai matapelajaran ini?

    Terima Kasih

  7. 8
    sifu2b Says:

    MiraJono,
    Selamat datang ke Ting 6.
    1. Tidak
    2. Keluk sebenarnya adalah graf sepertimana dlm matematik. Tetapi keluk dlm ekonomi diajarkan sebagai ALAT PENERANGAN ILMU, serupa dengan geografi, mesti ada PETA untuk menerangkan tentang sesuatu kawasan. Dalam ekonomi keluk tidak semestinya diajar berdasarkan set nombor atau jadual nombor walaupun ada beberapa bab ada membincangkan bagaimana keluk dibentuk berdasarkan jadual diberi.
    3. YA.
    4. TIDAK. Ada dilandasan yang betul.

  8. 9
    tina Says:

    Hai,
    saya bukan pelajar STPM tp bekas pelajar STPM.So sekarang saya ambil mikroekonomi dan makroekonomi untuk ijazah tapi saya memang tidak ada asas mikro dan makro.Apatah lagi saya juga siswa PPJJ jadi bagaimana untuk saya belajar subjek ini dengan lanjut? Berdasarkan modul dan rujukan saya tidak dapat memahami bab teori dan kos pengeluaran?

    Sekian,
    Terima Kasih

  9. 10
    sifu2b Says:

    Tina,
    Untuk pelajar PJJ, seharusnya memiliki buku rujukan ekonomi dengan membeli sendiri. Modul sememangnya tak mencukupi kecuali anda pelajar yang cepat menangkap nota ringkas. Beli buku EKONOMI. Jika mampu membaca buku dalam BI, maka belilah buku Microeconomics terbitan Longman Pearson. Ada juga buku Economics. Kedua-duanya lebih mudah difahami. Jika anda tak suka atau sukar faham buku dalam BI, maka mana-mana buku rujukan ekonomi untuk STPM/matrikulasi adalah memadai buat anda.
    Sila beli buku terbitan Fajar Oxford atau Longman Pearson. Buku Arah Pendidikan (warnah putih) juga sesuai bagi anda.

  10. 11
    roza Says:

    salam sifu,

    nape x letak nota utk subjek mikro?atleast boleh dijadikan rujukan tambahan untuk student terutama student pjj.sebab kami perlukan rujukan yang byk utk fahami subjek ini.

  11. 12
    Lily Says:

    Salam sifu saya bakal mengambil peperiksaan tahun hadapan tetapi saya belajar sendiri. Apakah buku rujukan yang bagus untuk pelajar persendirian seperti saya.

  12. 13
    sifu2b Says:

    Roza,
    Sudah dijelaskan di atas kenapa tidak ada nota.

    Lily,
    Dicadangkan buku terbitan Longman pearson dan fajar Oxford.

  13. 14
    Lily Says:

    Terima kasih sifu.

  14. 15
    koniechiwa Says:

    sifu,
    ni firstime sy saya bace artikel sifu..
    sy bdk upper 6 di sebuah skolah di Kuala terengganu.. sy meminati subjek mikroekonomi..waktu pembelajaran sy juga berjalan lancar atas faktor guru yg begitu memahami kelemahan pelajarnya..masalahnya setiap kali exam, markah sy tidak begitu memberangsangkan mlh lebih rendah dripada makroekonomi yg sy kurang minat.. bleh sifu bantu sy…

  15. 16
    sifu2b Says:

    koniechiwa,
    Ini satu berita baik sifu nak beritahu. Kaedah pemarkahan MIKRO adalah strict – itu kata pemeriksa dan jangan hairan jika markah Mikro awak selalunya rendah dari Makro kerana kaedah markah MAKRO tidak strict (memandangkan kurang teori di dalamnya).

    Untuk menguasai mikro, pastikan anda TIDAK LARI dari menerangkan TEORI dengan tepat. malahan melukis keluk juga tidak BOLEH LARI dari teori sebenar.

    Ambil contoh, keluk dalam Pasaran Persaingan Sempurna. Keluk MC tu MESTI melengkuk seolah-olah pancing! Jika tidak, ia adalah salah kerana tidak patuh teori untuk MC. Juga keluk AC dan AVC mestilah bentuknya apabila dilukis kedua-duanya mestilah beza jarak semakin mengecil. Juga mesti lukis keluk MC memotong di titik minimum AVC dan AC itu.

    Contoh lain, Pasaran monopoli. tahukah anda bahawa keluk AR dan MR, kedua-duanya MESTI dilukis bercantum hingga ke paksi HARGA. Tidak boleh tidak. Itu pesan pemeriksa dan itu adalah arahannya oleh ketua pemeriksa. Dan ketua pemeriksa itu memang benar kerana TEORI pasaran monopoli sememangnya ada menyatakan ciri-ciri keluk AR dan MR itu.

    Dengan kata lain, jika awak nak dapat markah terbaik dalam Mikro, pastikan awak dapat melukis dengan tepat, melabel rajah dengan tepat, mentafsir dengan tepat rajah yang anda lukis dan selalu nyatakan titik asalan, harga Asalan dan kuantiti asalan.

    Itu beberapa contoh masalah kualiti jawapan pelajar yang sifu sempat dapat dari kursus baru-baru ini.

  16. 17
    farah Says:

    salam..
    koniechiwa..
    anda dari sekolah mana? boleh saya tahu?
    saya pun dari kuala terengganu juga..

  17. 18
    amira Says:

    sifu..
    saya pelajar lower 6 tahun nie.. saya first time belajar ekonomi ni.. bagi saya belajar ekonomi ni kena banyak berimaginasi.. jadi jika saya baca buku rujukan saya akan membuat imaginasi sendiri dan akan mencari jalan penyelesaiannya.. bagi saya mikroekonomi ni senang sikit la tapi saya belum pernah ambil ujian mikroekonomi bulan 10 ni baru saya ada exam excel.. sifu jangan lupakan doakan kejayaan saya ya.. tetapi saya ada juga menghadapi masalah belajar dalam semua subjek dalam tingkatan 6 ni.. semua cikgu yang mengajar kami ialah cikgu baru ( yang pernah ambil tingkatan 6) dan tidak ada pengalaman mengajar form 6.. jadi pelajar dengan guru kiranya kedua – duanya masih belajar. perkara ni menyebabkan saya kadang – kadang kurang faham dengan apa yang guru mengajar. pelajar lower 6 tahun nie ialah yang ke-2. dan sekolah tersebut belum ada sejarah keputusan stpm..

  18. 19
    amira Says:

    saya berharap sifu dapat membantu saya dalam hal ini..


RSS Feed for this entry

Leave a Comment